Translate

Jumaat, 7 Disember 2018

SEJARAH PEMBANGUNAN PELANCONGAN HOMESTAY DI MALAYSIA


SEJARAH PEMBANGUNAN PELANCONGAN INAP DESA (HOMESTAY) DI MALAYSIA 
Konsep homestay telah mula diperkenalkan secara tidak rasmi di Malaysia sejak tahun 1970-an lagi. Ketika itu sudah ada sebilangan penduduk kampung di Cherating, Pahang yang menyediakan penginapan kepada para pelancong luar yang ingin tinggal lama untuk menikmati keindahan Pantai Cherating. Para pelancong dibawa untuk tinggal bersama dengan keluarga di kampung mereka dan disediakan sarapan pagi oleh tuan rumah (Amran,2004). Namun ketika itu penyertaan masyarakat tidak begitu meluas  dan homestay di jadikan sebagai alternative kepada chalet dan pusat peranginan bagi mereka yang ingin menjimatkan kos penginapan. (Yahya & Fauwaz, 2008)

Menyedari wujudnya rangsangan ekonomi melalui aktiviti seperti itu, maka Program Homestay telah diperkenalkan secara rasmi di peringkat nasioanal oleh Kementeriaan Kebudayaan, Kesenian dan Pelancongan Malaysia pada tahun 1995.  Program homestay pertama di Malaysia yang mendapat sokongan Kementerian ialah program homestay di Desa Murni, sebuah komuniti yang terdiri daripada lima kampung berdekatan Temerloh, Pahang
“Penggerak program homestay Desa Murni kemudian mengasaskan Persatuan Homestay Malaysia. Faedah daripada program homestay kepada komuniti di Desa Murni sangat menyerlah. Di situ, budaya Malaysia dapat dipromosikan dan pelancongan dapat dibangunkan secara lestari kerana pendapatan mengalir ke tangan komuniti itu sendiri dan pengetahuan ahli komuniti itu sendiri mengenai sumber warisan kepunyaan mereka meningkat (Kalsom et al, 2006).”
Bagi memantapkan lagi perjalanan program homestay , Persatuan Homestay Malaysia (PHM) telah ditubuhkan pada 2000. Menurut setiausaha PHM, En Yaakob bin Uda sehingga tahun 2004, terdapat lebih kurang 1,674 pengusaha homestay yang berdaftar meliputi 62 buah kampung. Walaubagaimanapun, daripada jumlah tersebut, hanya 20 kampung yang masih beroperasi (32 peratus) dan kurang daripada 10 kampung yang aktif.
TAHUN
JUMLAH PENDAPATAN
2006
RM 206, 360
2007
RM 4, 923, 433 (+ 96%)
2008
RM 6, 393, 676 (+ 23%)
Rajah 2.3. : Jumlah pendapatan dari program Homestay seluruh Negara (2006-2008) 
Sumber : Kementerian Pelancongan Malaysia

Kementerian Pelancongan Malaysia juga telah meletakkan program homestay bersama dalam Pelan Pembangunan Desa yang disediakan untuk memastikan pembangunan pelancongan inap desa diberi perhatian yang lebih teliti dalam pembangunan di luar bandar. Selain itu, program homestay juga merupakan satu daripada intisari aktiviti latihan yang ditawarkan oleh Institut Kemajuan Desa (INFRA), Kementerian Pembangunan Luar Bandar yang befungsi sebagai institut latihan utama pengurusan pembangunan desa (INFRA,2002)


STRATEGI DAN GARIS PANDUAN 
PELAKSAAN PROGRAM HOMESTAY

Program homestay juga merupakan satu strategi pelaksanaan yang menggambarkan penekanan polisi kerajaan ke arah pembanguan sector pelancongan negara ini seperti penghasilan tukaran wang asing, agen penggalak kepada pembangunan ekonomi dan sosial negara yang saksama, menggalakkan pembangunan luar bandar dan mempercepat integrasi penduduk bandar ke desa (Kalsom et al,2006).

Selain itu, program ini juga dijangka dapat menghasilkan peluang-peluang pekerjaan terutamanya di luar bandar dan pada masa yang sama  dapat menggalakkan penglibatan daripada semua komuniti etnik dalam sector ini. Apabila wujudnya penglibatan dan kerjasama dari semua peringkat masyarakat, maka perpaduan negara dapat dipupuk dan hal ini dapat memberi gambaran yang baik terhadap Maysia di prasarana antarabangsa. 

Menyedari homestay bukan sahaja mampu menarik pelancong untuk datang ke negara kita, malah meningkatkan tahap ekonomi masyarakat desa, maka kerajaan dalam Rancangan Malaysia Kesembilan telah memberi perhatian terhadap pembangunan homestay. Pelbagai agensi kerajaan terlibat dalam program ini. Kementerian Pelancongan Malaysia melalui Tourism Malaysia melakukan promosi dan Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah pula member latihan kepada peserta dan melaksanakan pembangunan infrastruktur setempat.

Terdapat garis panduan tertentu yang telah disediakan oleh pihak Kementerian Pelancongan Malaysia (KPM) dalam melaksanakan program homestay. Garis panduan tersebut adalah perlu bagi membantu perancangan dan pembangunannya homestay yang berkesan dan sistematik di Malaysia. Penyertaan dalam program ini dibuka kepada semua rakyat Malaysia yang berkeluarga dan tinggal di suatu kediaman rumah yang lengkap. Bagi memastikan kejayaan program ni, semua peserta hendaklah berdaftar dengan KPM serta berurusan dengan mana-mana agensi pelancongan dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan harga, makanan pengangkutan dan hal lain yang melibatka pakej lawatan KPM. Garis  panduan yang telah ditetapkan oleh KPM merangkumi beberapa aspek yang meliputi aspek keselesaan, kecekapan, keselamatan dan kebersihan
Bil.
Ciri-ciri
      Syarat-Syarat yang perlu dipatuhi
1.
Lokasi rumah kediaman
·               Lokasinya hendaklah di dalam kawasan yang sesuai dari segi perhubungan pengangkutan
·          Bebas daripada sebarang pencemaran alam.
·             Mempunyai persekitaran yang sesuai dan sebaik-baiknya dapat memaparkan cara hidup masyarakat Malaysia.
2.
Kemudahan Asas
·           Rumah kediaman mempunyai keluasan yang sesuai dan pelancong yang menginap hendaklah ditempatkan di bilik yang berasingan.
·                  Bilangan maksimum bilik yang dibenarkan untuk disewakan kepada pelancong adalah terhad kepada 3 buah bilik dengan ruang keluasan yang sesuai.
·             Menyediakan bilik mandi, tandas, ruang makan dan ruang tamu dan kemudahan asas lain yang sesuai.
·         Penyediaan dan pembekalan makan/minum, tuala, ubat nyamuk, kelambu dan kain sarong/batik adalah atas permintaan oleh pelancong dan ianya akan dikenakan bayaran.
·         Penyelenggaraan rapi ke atas semua kemudahan asas
3.
Kebersihan
·            Kawasan persekitaran rumah perlulah bersih dan bebas dari sampah sarap yang menjadi tempat pembiakan nyamuk dan lalat.
·            Sistem pembuangan air dan perparitan yang baik hendaklah diadakan bagi mengelakkan bau busuk
4
Keselamatan
·         Pelancong berkumpulan dan diuruskan oleh syarikat     pelancongan: perlindungan insurans hendaklah diuruskan oleh  syarikat pelancongan tersebut.
·                 Bagi pelancong perseorangan, : dapatkan insurans daripada mana-mana syarikat insurans yang berdaftar.
·         langkah-langkah keselamatan seperti pencegahan kebakaran perlulah diambil kira oleh tuan punya rumah.
Rajah 2.4 : Garis panduan penyertaan program homestay di Malaysia 
Sumber: Kementerian Pelancongan Malaysia

Panduan menyediakan kemudahan homestay ini adalah sebagai bahan rujukan untuk memudahkan pengusaha-pengusaha program Homestay menyediakan kemudahan ini kepada pelancong-pelancong bagi memastikan ianya dapat diadakan dengan lebih teratur dan terkawal. Bagi menjamin kejayaan program ini, semua pihak yang turut serta hendaklah membaca dan memahami semua peraturan dan syarat-syarat yang dinyatakan tersebut.

Sunber: http://terusanilmu.blogspot.my/2013/02/bab-ii-pembangunan-pelancongan-homestay.html

Terima kasih kepada: terusanilmu blogspot.com


Tiada ulasan:

Catat Ulasan