Perancangan sebelum bercuti di Kelantan Darul Naim
Perancangan yang fleksible dan teliti sebelum bercuti adalah sangat
penting. Ia seharusnya dapat membantu mengawal bajet percutian anda agar
kewangan terancang dengan baik. Semua orang dari pelbagai lapisan dan
taraf eknonomi boleh bercuti di Kelantan. Apa yang penting anda
seharusnya dapat membuat perancangan yang baik, kerana perancangan yang
baik itulah dapat menjadikan percutian anda sangat menyeronokkan
disamping aktiviti-aktiviti yang dapat dibuat kenang-kenangan. Dalam
artikel kali ini, saya mengupas kaedah perancangan anda sebelum bercuti,
khususnya di Kelantan.
Bajet
Inilah antara perkara pertama dan paling utama yang mesti anda
rancang sebelum bercuti di Kelantan. Bajet tahunan untuk bercuti
seharusnya ada dalam setiap keluarga. Dalam bajet untuk bercuti, anda
hendaklah mengambil kira bajet asas membabitkan pengangkutan, tol,
petrol, penginapan dan makanan. Perlu bijak memilih penginapan sama ada
hotel atau homestay. Pemilihan hotel yang bersesuaian dengan harga juga
perlu dilakukan. Bagi yang bercuti dengan jumlah keluarga yang ramai saya cadangkan anda memilih homestay kerana lebih menjimatkan. Selain
itu, pilihan pengangkutan juga memainkan peranan. Jika datang dengan
pengangkutan awam seperti keretapi atau bas, perlu pula merancang jika
ingin menyewa kereta di Kelantan.
Anggaran kasar untuk perbelanjaan asas bercuti di Kelantan dengan
menaiki kenderaan sendiri, kereta jenis Nissan Latio -
selama 3 hari 2 malam bagi 5 orang ahli
keluarga yang tinggal di Pasir Gudang Johor:

- Petrol : RM300 (Pergi balik)
- Tol : RM40.00 (Pergi balik)
- Penginapan (Rossaz Homestay) : RM360 (2 Malam)
- Makan : RM150
- Shopping : RM400
Contoh di atas mengambil kira keluarga yang bercuti paling jauh dari Kelantan iaitu dari Pasir Gudang Johor dengan
2 orang dewasa dan 3 orang kanak-kanak. Jika lokasi anda lebih dekat,
lebih murahlah perbelanjaan untuk bercuti. Contoh ini hanyalah anggaran
kasar sahaja.
Membeli-belah
Shopping adalah agenda wajib dan menyeronokkan jika datang ke
Kelantan. Kenapa? Semestinya kerana terdapat pelbagai pilihan barangan
dengan harga yang amat berpatutan dan menjimatkan. Bagi mencapai
kepuasan yang optimum ketika membeli belah di sini, anda hendaklah
terlebih dahulu mengenalpasti apakah barangan yang ingin dibeli samada
pakaian, mainan kanak-kanak, cenderamata atau juga makanan.
Membeli-belah di Kelantan secara purata tidak memerlukan anda memakai
kad kredit. Shopping menggunakan wang tunai adalah lebih baik. Tidak
perlu risau kerana semua kemudahan ATM ada di setiap kawasan.
Selalunya ramai pengunjung yang datang akan shopping sakan disini
tanpa mengira barang itu patut dibeli atau tidak. Jangan begitu, ianya
hanya menggalakkan pembaziran kerana bukan semua barangan yang patut
anda beli disini. Secara sedar atau tidak, anda mungkin terasa semua
benda nak beli kerana merasakan harganya murah berbanding tempat lain.
Awas! kerana itu akan menyebabkan duit anda melayang tanpa anda sedari.
Pastikan anda membeli barangan yang sangat bernilai dan murah sahaja
selain tidak didapati ditempat lain. Antara barangan popular yang selalu
dibeli dan patut anda beli adalah seperti beras siam, toto, serunding
daging, keropok, tudung bawal, kain batik, jersi bola sepak, jeans dan
lain-lain lagi. Anda boleh membaca panduan yang telah disediakan di
laman web ini untuk shopping di tempat membeli-belah yang popular
seperti Wakaf Che Yeh, Pasar Siti Khadijah, Rantau Panjang dan lain-lain
lagi.
Aktiviti
Aktiviti yang biasa dilakukan jika bercuti adalah berkunjung ke
tempat-tempat bersejarah dan menarik. Pastikan anak anda dapat
merasainya juga. Selain itu, tempat peranginan seperti pantai dan air
terjun juga menjadi agenda wajib jika datang ke sini. Pastikan pakaian
yang dibawa bersesuaian dengan tempat tersebut. Contohnya jika ingin ke
air terjun dan sebagainya. Ini bagi mengelakkan duit melayang membeli
pakaian di tempat tersebut. Dan yang paling utama sudah tentulah
aktiviti membeli belah selain ‘jalan-jalan cari makan’.
Jalan-jalan cari makan
Jalan-jalan cari makan adalah aktiviti paling menyeronokkan bagi
kebanyakan pengunjung. Di Kelantan ini, sangat banyak tempat makan dan
restoran yang sedap serta popular. Pelbagai jenis masakan dan menu boleh
dipilih. Namun begitu, anda dinasihatkan berhati-hati ketika memilih
restoran atau kedai makan. Kerana banyak juga kedai yang cekik darah
serta layanan yang diberikan sangat mendukacitakan. Di samping itu,
waktu untuk singgah menjamu selera perlu juga diambil kira. Jika datang
waktu puncak dan terlalu ramai orang, anda mungkin terpaksa menunggu dan
bersesak yang boleh membuatkan mood untuk makan bagi sesetengah orang
hilang begitu sahaja. Untuk itu, buatlah perancangan awal-awal restoran
mana yang akan disinggah dan makanan apa yang hendak dicuba selain dari
waktu yang sesuai untuk menjamu selera.
Masa sesuai untuk bercuti di Kelantan
Masa yang sesuai untuk bercuti dan berkunjung ke Kelantan adalah pada
cuti sekolah bulan Mac, Mei/Jun, serta pada cuti hari raya Cina. Bulan
Disember tidak digalakkan datang kerana musim tengkujuh, kawasan Rantau
Panjang biasanya akan ditengelami air dan banyak kedai akan tutup. Jika
ingin datang juga, pastikan anda memperoleh maklumat dari jabatan
kajicuaca atau bilik gerakan banjir. Biasanya cuaca tidak menentu pada
pertengahan dan hujung bulan 12. Waktu yang paling padat dan sesak teruk
adalah pada cuti hari raya puasa, raya haji, cuti hari raya cina dan
pada waktu hujung minggu pada musim cuti sekolah. Pada waktu inilah
biasanya keadaan jalanraya di Kelantan sesak. Jumlah pelancong yang
ramai ditambah lagi penduduk Kelantan keluar untuk makan angin dan
shopping, bertambahlah sesak keadaan jalan.
Rancanglah percutian anda di Kelantan dengan baik.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan