Pertama kali mengunjungi Negeri Bawah Bayu dari 23 hingga 27 Julai 2009 hati terasa amat teruja dan gembira sekali. Perjalanan kami satu keluarga seramai 5 orang bermula di KLIA 2 menaiki penerbangan Air Asia.
Menunggu penerbangan Air Asia ke Sandakan di KLIA 2 jam 8.05 pagi |
Setibanya di Sandakan kami menaiki teksi menuju ke pusat Bandar Sandakan. Kami menginap di Hotel City Star selama 4 malam (hari Khamis hingga Isnin). Suami memilih untuk menginap di sini kerana berhampiran dengan Masjid Jamek Sandakan untuk memudahkan mengerjakan solat Jumaat keesokan harinya. Tambahan pula di bahagian bawah kawasan hotel ini terdapat kedai makan muslim.
![]() |
Masjid Jamek Sandakan |
Aktiviti di Sandakan
Pada hari Jumaat kami mengambil kesempatan bersiar-siar di pusat bandar dan pada waktu petangnya kami melawat Pelabuhan Sandakan.
Hari Sabtu Mohd. Azizurhan anak lelaki kami yang bertugas di SK Rancangan Suan Lamba telah membawa kami ke Bukit Garam atau bandar Kinabatangan. Pada hari itu, sebelum bertolak ke bandar Kinabatangan kami telah melawat Rumah Agnes.
Kesempatan berkunjung ke rumah yang pernah
didiami penulis tersohor Amerika Syarikat, Agnes Newton Keith bersama
suaminya, Harry Keith dan anak mereka, George benar-benar mencetuskan
keterujaan dalam diri.
Rumah agam Agnes
Keith yang terletak di Jalan Istana, Sandakan, Sabah, antara destinasi
menarik yang perlu dikunjungi sekiranya ke bandar itu.
Keunikan
seni bina, dekorasi rumah dan sejarah yang terkumpul di dalamnya
menambahkan lagi keinginan kami untuk menjejakkan kaki ke situ.
Mungkin ramai yang tertanya-tanya siapakah
Agnes Keith? Apakah istimewanya wanita itu sehingga namanya diabadikan
pada rumah berkenaan sedangkan mengikut senarai yang dipaparkan, rumah
itu pernah dihuni 26 individu lain.
Agnes
dilahirkan pada 6 Julai 1901 di Illinois, Amerika Syarikat. Sejak zaman
remaja, dia gemar menulis cerita fiksyen menggunakan pelbagai nama
samaran. Karyanya banyak disiarkan dalam beberapa majalah terkemuka
termasuk Reader’s Digest.
Malah,
selepas menamatkan pengajian di University Of California, Berkeley, dia
bertugas sebagai wartawan dengan The San Francisco Examiner pada 1924.
Selepas
berkahwin dengan Harry Keith, Pegawai Konservasi Hutan yang bertugas di
Sandakan pada 1934, Agnes mengikut suaminya ke Sandakan. Pada awalnya
mereka tinggal di rumah bujang yang disediakan untuk Harry tapi akhirnya
berpindah ke sebuah rumah lebih selesa di atas bukit.
Walaupun
mereka adalah penghuni kedua tinggal di rumah itu selepas M M Clark,
namun rumah itu lebih sinonim dikaitkan dengan Agnes kerana dalam rumah
itu dia menghasilkan buku ‘Land Below The Wind’ pada 1939 yang
menceritakan mengenai kehidupan masyarakat tempatan Sabah serta alam
semula jadinya.
Buku itu turut mengalahkan 600 buku lain untuk memenangi pertandingan kategori bukan fiksyen anjuran majalah Atlantic Monthly.
Malah
gelaran Negeri Di Bawah Bayu yang diberikan kepada Sabah adalah
inspirasi daripada karya Agnes itu sehinggakan dia dianggap sebagai
‘duta’ negeri berkenaan.
Apabila Perang
Dunia Kedua meletus, Agnes dan keluarganya pulang ke Amerika Syarikat.
Namun, apabila kembali ke Sandakan pada 1946, mereka mendapati rumah itu
musnah.
Ia kemudian dibina semula
untuk didiami keluarga Keith di mana Agnes menamakannya sebagai
Newlands. Di dalam rumah itulah terhasilnya dua lagi buku karangan Agnes
berjudul ‘Three Came Home’ pada 1946 dan ‘White Man Returns’ (1951).
Antara catatan Agnes iaitu tinggal di rumah itu memang menjadi idamannya dan dia sangat gembira sepanjang menjadi penghuninya.Namun Agnes tidak lupa mencatatkan pengalaman seram yang sering dilalui sepanjang tinggal di rumah berkenaan. Agnes
menulis: “Saya tidak percaya pada hantu. Tetapi setiap hari saya
melihat seorang wanita tinggi lampai mengucapkan selamat tinggal kepada
suaminya, mengambil bayinya dan turun ke jalan seorang diri, berdiri di
hujung jalan dan menoleh ke belakang.”
Malah,
pengalaman seram turut dialami seorang lagi penghuni, Rosemary, isteri
kepada G L Carson yang menetap di situ selama 12 tahun (1955-1967).
Rosemary tinggal seorang diri ketika suaminya bertugas di Kota Kinabalu.
Menurut
Rosemary, dia terbangun pada waktu Subuh dan terdengar pintu di bilik
hujung rumah ditutup beberapa kali, diikuti bunyi orang berjalan menuju
ke biliknya.
Apabila dia membuka mata,
Rosemary mendapati satu lembaga wanita berdiri di hujung katil sambil
memerhati ke arahnya. Dia tidak mengetahui apa yang berlaku kerana
selepas itu dia pengsan.
Seorang
pembantu rumah yang bekerja ketika Tom Bayles tinggal di situ pada 1967
hingga 1968 pula terserempak dengan wanita sedang berdiri di anak
tangga.
Banyak lagi catatan dalam
bentuk makalah yang dipamerkan di satu sudut rumah itu yang menceritakan
kejadian seram dialami penghuni rumah berkenaan.
Ia
membuktikan di sebalik keunikan serta sejarahnya, Rumah Agnes Keith
turut menyimpan cerita misteri yang pastinya menjadikan ia lebih menarik
untuk dikunjungi.
Sebelum sampai ke Bandar Kinabatangan kami telah melawat Sepilok.
Pusat Pemuliharaan Orang Utan Sepilok terletak di Hutan Simpan Sepilok - Kabili, 24 km dari Sandakan. Pusat ini dikhususkan untuk memelihara dan mengkaji spesies orang utan yang semakin pupus di dunia ini.
Pusat Pemuliharaan Orang Utan ini dibuka pada 1964 dan ditadbir
oleh Jabatan Hidupan Liar Sabah, di bawah Kementerian Pelancongan
Malaysia. Luas pusat ini termasuk hutan simpannya ialah 4294 hentar dan
mula dibuka kepada kunjungan para pelancong pada 1964.
Kini terdapat 300 ekor orang utan yang hidup secara semula jadi,
diberi makan, diternak dan ditempatkan (dibuang) ke sini dari
tempat-tempat lain. Menurut kajian Jabatan Hidupan Liar Sabah, terdapat
13,000 orang utan di seluruh negeri Sabah. Oleh itu, pemilihan Sepilok
sebagai pusat pemuliharaan orang utan amat bertepatan sekali.
Sumber: https://ms.wikipedia.org/wiki/Pusat_Pemuliharaan_Orang_Utan_Sepilok
Saat tiba di sini, kita akan melalui laluan kayu yang akan membawa kita menuju ke arah galeri dan platform tempat memberi Orang Utan makanan. KIta perlu datang sekitar 30 minit awal sebelum waktu haiwan ini diberi makan .
Waktu Operasi: Sabtu – Khamis (9.00am – 12.00pm & 2.00pm – 4.00pm) | Jumaat (9.00am – 11.00am & 2.00pm – 4.00pm) | Waktu Orang Utan Diberi Makanan (10.00am – 3.00pm)
Harga: Dewasa MyKad: RM5, Pelancong: RM30 | 18 Tahun & Kebawah MyKad: RM2, Pelancong: RM15 | Kamera RM10
Waktu petang kami tiba di Bandar Kinabatangan untuk menjamu selera.
Lima hari berada di Sandakan tidak memadai untuk kami melawat banyak lagi tempat-tempat menarik. Kami kembali ke Semenanjung meninggalkan Negeri Bawah Bayu pada 27/07/2009 dengan hati yang berbaur kesukaan dan penuh kenangan.
Nota: Kenangan pelancongan kami ke Sabah, Negeri Bawah Bayu ini di muat naik ke Blog ini semata-mata sebagai kenangan dan keterujaan kami yang pertama kali melawat Sandakan.
Sekian untuk kali ini. Bye ! Bye! Jumpa lagi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan